Followers

Saturday, November 21, 2020

Apakah itu Dilepaskan Tanpa Dibebaskan? Satu Penjelasan Mudah.

 

Apakah yang dimaksudkan dengan penggunaan terma Discharge Amounting to Acquittal (Dilepaskan dan Dibebaskan) dan Discharge Not Amounting to Acquittal (Dilepaskan tanpa Dibebaskan).

Saya akan cuba terangkan dengan semudah yang mungkin untuk pemahaman umum.

Bila seseorang individu  didakwa di Mahkamah atas sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang , tertuduh tersebut dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah di Mahkamah (Innocent until Proven Guilty) . Namun, masyarakat kita sering kali terlepas pandang akan penggunaan terma “Innocent until proven guilty”  dan akan menganggap seseorang itu sememangnya bersalah walaupun tertuduh tersebut masih belum dibuktikan kesalahannya. Pengguna media sosial sering kali mengutuk tertuduh tersebut dan percaya bahawa  tertuduh benar-benar bersalah (Trial by Media).

Apabila seseorang individu didakwa di Mahkamah oleh pihak pendakwa raya, adalah menjadi tugas pihak pendakwa raya untuk membuktikan kesalahan serta elemen-elemen jenayah tertuduh tersebut di luar keraguan munasabah (beyond a reasonable doubt)  dan diletakkan atas beban bukti yang kukuh dan nyata untuk membuktikan kesalahanya.

Namun begitu, jika pihak pendakwa raya tidak dapat membuktikan kesalahan seseorang tertuduh, maka Mahkamah diperuntukan kuasa di bawah Kanun Prosedur Jenayah  untuk melepaskan atau membebaskan tertuduh tersebut.

Dilepaskan tanpa dibebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal) tidak bererti tertuduh tersebut dibebaskan sepenuhnya. Hal ini demikian , pihak pendakwa raya masih boleh pada bila-bila masa dan dengan sebab dan bukit yang kukuh mendakwa semula tertuduh tersebut atas kesalahan yang sama.

 

Hal ini berbeza pula dengan  Discharge Amounting to an Acquittal yang membawa maksud ‘dilepaskan dan dibebaskan’ . Ini bermaksud apabila pihak pendakwaraya gagal membuktikan atas dasar prima facie ,seseorang tertuduh akan
didapati tidak bersalah maka tertuduh akan dilepaskan serta dibebaskan daripada pertuduhan dengan serta-merta.

 

Dalam keadaan ini Pendakwa Raya tidak berkuasa untuk mendakwa semula tertuduh atas pertuduhan yang sama kerana ianya bertentangan dengan prinsip di bawah Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu

“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama kecuali jika sabitan atau pembebasan itu telah dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh suatu mahkamah yang lebih atas daripada mahkamah yang telah membebaskan atau mensabitkannya itu.”

 

Saya berharap perkongsiaan di atas sedikit sebanyak dapat memanfaatkan para pembaca blog ini.

Terima Kasih.

 

Joel Ruben John 

LLB (Hons)(London)

CLP

Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya

Apakah itu Dilepaskan Tanpa Dibebaskan? Satu Penjelasan Mudah.

  Apakah yang dimaksudkan dengan penggunaan terma Discharge Amounting to Acquittal (Dilepaskan dan Dibebaskan) dan Discharge Not Amounting t...